Selamat Datang ke Majlis Makan Malam Majlis Guru Cemerlang Segamat
Bersyukur kita kepada Tuhan kerana diberi peluang untuk berhimpun bersama-sama dalam Majlis yang begitu bermakna ini.
Untuk makluman para hadirin, Majlis Guru Cemerlang Segamat telah berkembang dengan pesatnya pada tahun ini, dengan bilangan ahlinya bertambah daripada 14 orang pada tahun 2008 sehingga menjadi 66 orang setakat ini. Kami berasa bangga dan berbesar hati kerana dapat mengadakan Jamuan Makan Malam pada malam yang mulia ini bersama-sama dengan pegawai-pegawai tertinggi dari Pejabat Pelajaran Daerah Segamat. Untuk makluman semua, MGC Segamat telah lama tidak mengadakan Jamuan tahunan seperti ini.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa perhubungan antara MGC dengan PPD adalah seumpama aur dengan tebing, sandar-menyandar antara satu sama lain. Kami sungguh bersyukur kerana mendapat sokongan yang kuat daripada pihak PPD atas segala aktiviti yang kami laksanakan sepanjang tahun ini. Antara aktiviti yang telah dan akan dijalankan termasuk:
(i) Kursus kajian tindakan pada bulan Februari 2009.
(ii) Program “Immersion” pada bulan Jun hingga November 2009.
(iii) Pembinaan modul P&P berkesan pada bulan Julai 2009.
(iv) Pelaksanaan “Roadshow” modul P&P berkesan dalam bulan Ogos hingga bulan November 2009.
(v) Perealisasian “Laman Web” MGC Segamat pada bulan Jun 2009.
(vi) Menyalurkan tenaga GC Segamat kepada 5 Biro utama, iaitu :-
· Biro Penerbitan dan Dokumentasi yang diketuai oleh saudara Baharuddin Bin Alias.
· Biro Pembangunan Modal insan yang diketuai oleh Saudara Mohd Nor Bin Abdullah.
· Biro Inovasi P & P yang diketuai oleh Saudari Sia Peng Yee.
· Biro Data dan Maklumat yang diketuai oleh Saudari Norhayati Bt. Ahmad.
· Biro Kebajikan dan Sosial yang diketuai oleh Saudari Aziaty Bt. Ahmad.
(vii) Pada Sabtu ini (21 November 2009), MGC bersama-sama PPD Segamat akan menganjurkan Kursus Laman Web MGC Segamat untuk membuka satu gelanggang bagi semua ahli MGC Segamat menyemai dan menerokai bidang keilmuan masing-masing.
Sebagai satu penghargaan kepada ahli baru, Semua ahli MGC Segamat yang baru telah dikecualikan daripada bayaran yuran tahunan. Bagi ahli MGC yang lama, mereka hanya dikenakan bayaran yuran ahli sebanyak RM 20.00 sahaja.Berbanding dengan bayaran RM50.00 ketika kali pertama saya menghadiri mesyuarat MGC Segamat pada tahun 2003. Saya yakin, kalau kita sama-sama berusaha, pada tahun-tahun yang akan datang, kita mungkin tidak lagi perlu membayar sebarang yuran tahunan.
Saya percaya, dengan kepakaran yang ada pada setiap GC, kita boleh mencari sumber kewangan melalui usaha kita bersama. Satu contoh yang baik ialah MGC Segamat bermula dengan sifar pada awal tahun ini, namun kedudukan kewangan sekarang telah menjejak RM6,000.00.
Melalui usaha yang gigih, kami telah berjaya membuka akaun semasa di bank RHB, Perkara ini menjadi satu isu yang rumit kerana semua MGC di Johor tidak berdaftar. Oleh itu , kami tidak ada nombor pendaftaran sebagai prasyarat untuk membuka akaun di mana-mana bank di Malaysia. Saya berharap dengan adanya akaun sendiri di bank, segala urusan kewangan MGC Segamat akan menjadi lebih telus dan lancar pada masa-masa yang akan datang.
Hasrat saya setelah dilantik menjadi Pengerusi MGC Segamat pada 1hb Julai 2009 adalah mewujudkan laman web MGC Segamat. Daerah Segamat merupakan daerah yang pertama di negeri Johor yang mempunyai laman web sendiri. Kita perlu menyuburkan isi kandungan di dalam bidang tanah yang baru diterokai ini, jikalau tidak, tak lama lagi bidang tanah tersebut akan menjadi gondol dan dangkal. Saya berharap laman web Segamat melebarkan sayap keilmuannya bukan sahaja di sekitar Segamat, tetapi ke seluruh Malaysia, bahkan ke seluruh dunia.
Akhir sekali, saya tidak pandai berpantun, tetapi saya ingin memetik serangkap puisi hasil seni Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang:
Jika hari ini
Seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini
Seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini
Seorang ulama yang mulia
Jika hari ini
Seorang peguam menang bicara
Jika hari ini
Seorang penulis terkemuka
Jika hari ini
Siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh
Seorang Guru biasa
Dengan lembut suaranya
Mengajar tulis-baca.
Sekian, terima kasih.